Pada Saat Ini - Repost

   
Be modest.


      Ya, aku menculik artikel dibawah ini dari seseorang. Kalau anda kenal, orang itu adalah penulis blog Teh Tarik Gelas Besar suatu ketika dahulu yang kini lebih enak bersemadi di laman tumblr.com. Dan aku ambil penulisan beliau ini pun dari laman itu. Apa yang menarik minat aku untuk tampal semula penulisan beliau adalah kerana isinya yang bagi aku, patut dibaca oleh semua.

      Aku tak mahu jadi mereka yang berdebat endlessly tanpa hala tuju. Aku mahu kita semua menjadi seperti Rasulullah SAW di mana baginda sendiri apabila dihina, ajaran yang dibawanya dihina dan sebagainya, masih boleh tersenyum dan mempamerkan keperibadian yang sangat awesome sampai orang tertarik dengan baginda dan ingin tahu kenapa dan bagaimana baginda boleh se-awesome itu.

      Tidakkah kita ingat teori-teori kedatangan Islam yang kita pelajari suatu ketika dahulu semasa di bangku sekolah dalam pelajaran Pendidikan Islam mahu pun Sejarah? Lupakah kita bahawa penyebab utama datuk nenek moyang kita semua tertarik kepada Islam adalah kerana kehebatan keperibadian pedagang-pedagang Islam yang datang ke tanah kita untuk berdagang?

      Itu yang kita patut tuju; menarik rasa minat sang penjahil-penjahil di luar sana sama ada orang kita sendiri mahu pun orang yang asing. Setiap kali hujahan macam ini aku hembuskan, aku pasti akan teringat satu kata-kata awesome dari seorang lelaki yang dahulunya seorang kristian dan sekarang actively pergi ke sana dan ke mari untuk menyedarkan kita (muslims) terhadap apa yang penting. Kata-kata itu adalah "The best dakwah is for Muslims to be Muslims.". Hadamkan perkataan ini. Tanam dalam diri. 

      Dan seperti kata si MJ, "If you wanna make the world a better place, take a look at yourself and then make a change; starting with the man in the mirror."

      From the way I see things are going now, we may win the battle but lose the war.

-END-

PADA SAAT INI
Pada saat ini, aku nampak semua orang mahu bercakap tentang sesuatu tanpa mereka sendiri faham apa yang mereka sedang bincangkan. Semua mahu nampak penting dan intelektual. Semua mahu nampak hebat dan bijak. Semua mahu kata, “aku kata ini" dan “aku fikir ini". Semua mahu jadi sesuatu. Semua mahu jadi seperti Socrates atau Kierkegaard. Semua mahu jadi seperti al-Ghazali atau al-Kindi.
Ya, termasuk diri aku.
Dan ada yang merasakan dirinya tidak hebat, bodoh dan tidak tahu apa-apa - seperti saekor amoeba di tengah lautan. Mereka berkata, “aku tidak tahu maka aku tidak mahu tahu" - dan golongan ini lebih gemar untuk bercakap tentang hal yang mereka tahu dan tidak berminat untuk tahu apa yang mereka tidak tahu.
Entah kenapa aku fikirkan perkara ini tiba-tiba. Entah mengapa aku merasa kenapa manusia semua mahu menjadi penting, dan ada manusia langsung tak nak ambil tahu.
Kita selalu fikir kita manusia, adalah golongan paling istimewa dalam seluruh kehidupan yang wujud dalam alam semesta. Kita selalu fikir bahawa kita makhluk kelas pertama, maka makhluk lain seperti beruang, zirafah atau tapir adalah makhluk kelas kedua sementara lalat, pijat, nyamuk dan katak adalah makhluk kelas ketiga. Kalau anda seorang Melayu-Islam-Bumiputera anda mungkin masukkan anjing dan babi dalam kelas ketiga, mungkin keempat.
Kita selalu fikir kita adalah “centre of the universe". Kitalah segalanya dalam alam ini. Pensejarahan dunia wujud sejak manusia wujud di dunia. Kita tidak pernah bertanya, “eh, dari mana semua ini datang?"
Dalam tak sedar kita ini cuma “a lump of carbon in a pale blue dot". Hanyalah segumpal karbon di sebuah titik kecil warna biru pudar. Ya, itu kata-kata yang diucapkan Carl Sagan, seorang astrophysicist Amerika Syarikat. Ruang angkasa ini terlalu luas dan kita cuma tinggal di sebuah titik kecil warna biru pudar.
Nah, pada saat ini saya menulis dalam keadaan rasional. Saya memikirkan, apa jua fahaman anda, kita semua berada di titik biru pudar ini. Tak kisahlah anda mahu fikir anda ini penting atau anda ini tak penting dalam dunia ini.
Tetapi, percanggahan orang-orang dengan faham kadang-kala mencetus pergaduhan, dan peperangan. Mereka yang berbeza ideologi, kepercayaan, atau darjat (kelas) akan berkelahi untuk menguasai titik biru pudar ini. Kita sering kata, “ya, aku yang paling betul, yang lain semua salah" sebab sebenarnya kita sendiri tidak yakin dengan pandangan kita sendiri. Kita jadi defensive, dan takut pandangan orang lain menguasai diri sendiri. Kita menjadi defensive dan takut pandangan orang lain menyangkal pandangan kita yang selama ini kita rasa kita sahaja yang benar.
Perasaan defensive ini tidak salah. Terutamanya jika kita masih mahu berpegang teguh dengan apa yang kita dididik dan diajar dari lahir. Tetapi apabila anda bersifat offensive dan menyerang orang lain hanya kerana kita mahu berpegang dengan fahaman kita, itu mungkin sesuatu yang tak patut kita buat.
Agama, misalnya. Kita sering mahu mengatakan, “agama aku yang paling benar dan tiada yang benar selain agamaku". Pada akhirnya apabila orang lain mengeluarkan pandangan, anda menolak terus pandangan mereka kerana pegangan ini. Menolak terus tu tak apa lagi, menyerang pula orang tersebut dengan kata-kata nista dan keji. Lebih teruk sehingga provokasi dan pukul memukul, atau bunuh membunuh.
Saya ingin bertanya kepada mereka, yang suka mengumpul orang ramai, dan menyerang seorang minoriti berdasarkan pandangannya, dengan bertubi-tubi menyerang dan menghentam seseorang. Apakah anda mahu kemenangan, atau anda mahu kebenaran?
Apabila Nicolaus Copernicus membuat kajian dan berkata bumi mengelilingi matahari, seluruh Gereja Katolik pada Zaman Gelap mengharamkan bukunya. Ada yang mengatakan dia membuat ajaran sesat, dan ada yang mahu beliau dihukum kerana menghina agama dan Tuhan.
Selepas sains berkembang melalui Renaissance, barulah terbukti yang Copernicus ini benar, dah sekarang Gereja Katolik pun menerima hasil kajian Copernicus ini.
Jadi, apabila ada orang bercanggah pendapat dan pandangan, ramai dari kalangan kita suka mengumpul “gerombolan" dan menyerang dan menghentam dan menghina dengan kata-kata yang tak membantu pun hujah anda untuk diterima. Maki hamun dan cerca ini bukan berhujah. Ini perangai orang gila.
Di kampung saya di Kluang, ada seorang yang mempunyai masalah mental. Nama dia, orang kampung panggil dia Saring. Saring ini bercakap dalam bahasa yang tiada siapa pun yang faham. Mungkin Chewbacca boleh faham.
Satu hari, makcik saya memandu kereta dan tiba di rumah nenek (sekarang arwah). Saring bercakap dalam nada yang marah, menunjuk-nunjuk arah kereta dan makcik. Dari itu makcik saya menyedari yang Saring mungkin memarahinya kerana perempuan bawa kereta.
Tetapi, makcik saya membantah pandangan Saring. Terus makcik saya bertempik “Ingat ini zaman kolot ke, perempuan tak boleh bawa kereta". Dan perdebatan antara makcik saya dengan Saring ini membuatkan saya sakit kepala. Kenapalah nak berdebat dengan orang yang kita sendiri tak faham apa yang dia katakan?
Pada akhirnya, saya fikir lebih baik saya sambung makan nasik dari melihat perdebatan ini.
Tidak salah untuk berdebat, tetapi kalau anda sekadar maki hamun dan bertempik tanpa hujah, mungkin anda sama level dengan Saring. Mungkin lebih baik anda mengaku anda ini mentalnya lemah dan berubatlah di pakar psychiatrist.
Kadang-kadang saya tak faham dengan beberapa golongan yang berkata, jika golongan-golongan ini berkuasa maka kedudukan Islam akan jatuh. Come on, Islam bukan wujud sejak 31 Ogos 1957. Islam menghadapi ancaman dari zaman Quraisy, zaman Perang Siffin, zaman perang Mongol, zaman Imperialisme, zaman Perang Dunia Kedua dan zaman pasca moden. Takkanlah kerana dua orang ambil gambar makan babi pun anda rasa mampu menggugat Islam?
Akhirnya, apabila golongan liberal menyuarakan pandangan, mereka dilihat sebagai musuh, dan diancam macam-macam. Samalah seperti Gereja Zaman Gelap ke atas Copernicus.
Eropah dibelenggu Zaman Gelap selama satu alaf, seribu tahun selepas kejatuhan Empayar Roma. Empayar Uthmaniyyah, yang jatuh pada 1923, mungkin adalah “Roma" kepada umat Islam. Dan ya, kita hidup dalam zaman gelap. Kita bersikap seperti orang gasar dan tidak bertamadun, memburu orang yang membuat kajian dan terus mencari jawapan - seperti Gereja Eropah memburu golongan saintis pada zaman itu.
Pada akhirnya, kita semuanya tinggal di titik biru pudar ini. Sama ada anda berlainan agama, atau tidak memiliki agama - anda kena sedar anda perlu co-exist dalam titik biru pudar. Orang beragama yang baik wujud, orang beragama yang jahat juga wujud. Orang tidak beragama seperti Stalin adalah orang jahat, tapi orang tidak beragama seperti John Lennon adalah orang baik.
Pada saat ini, saya sedang duduk di sini, melihat kebebalan dan kedunguan mereka yang berhujah tanpa pandangan konkrit ini. Ketakutan hanya membuatkan kita menjadi bangsa yang kecil dan tidak bertamadun. Ketakutan, hanya memundurkan - seperti hidup di Zaman Gelap.
Dan, fikirkan semula - dalam zaman ini, adakah kita seperti Copernicus, atau seperti golongan Gereja yang kerjanya memburu orang yang mencari jawapan.
Fikirkanlah, sementara kita masih ada di titik biru pudar ini. 

Comments

Popular posts from this blog

Gila Meroyan

Aku Sedih. Aku Jeles. Aku Hampa. AKU NAK IKUT!